Skirt Dalam

Masa tu umur aku 9 tahun. Kalau 9 tahun maksudnya darjah 3 la kan? Ok, masih berhingus dan tak tahu apa-apa. Tak macam budak zaman sekarang. Umur 7 tahun pun dah pandai chatting kat facebook berkenalan dengan lawan jantina. 

Hari jumaat tahun 1998. Keluarga belah abah aku datang ke rumah. Penuh rumah sampai tak ada ruang langsung untuk aku letak punggung. Memang penuh sebab ramai. Ramai tu satu hal, masing-masing badan saiz gajah. Ok aku jahat tapi itulah hakikatnya. Makan apa pun aku tak tahulah. Mujurlah mak aku ni jenis jaga pemakanan anak-anak. Malam-malam tak bagi makan. Bukan zalim, tapi menjaga pemakanan dan kesihatan. Makan apa yang patut saja asalkan isi perut.

Nak dijadikan cerita, aku bangun je pagi sabtu tu terus ke bilik adik aku nak tengok mereka dah bangun tidur ke belum. Buka saja pintu, aku terpijak satu kain yang 'material' licin. Cantik. Berkilat. Uishhh, ada renda-renda dibahagian bawah. Tanpa fikir panjang, aku ambik dan belek-belek. Dalam hati aku tertanya-tanya, siapa punya kain ni. Setahu aku, mak tak pernah belikan kain macam ni kat adik-adik perempuan aku. Ntah-ntah, itu kain sepupu aku.

Petang sabtu, hari yang sama. Kawan baik aku nama Asikin ajak pergi main pondok-pondok kat rumah dia. Aku memang pantang kalau diajak main pondok-pondok ni sebab itu memang kegemaran aku. Jadi, aku bersetuju. Pukul 5 tepat aku pergi dapur nak mintak kebenaran mak untuk keluar. Mak aku jenis faham jiwa, beliau kasi aku keluar. Terus aku bergegas ke bilik untuk salin pakaian. Yela, masa kecil pakai seluar pendek dengan singlet saja kat rumah. Kena la salin pakaian elok sikit nak keluar. Buka saja almari, aku teringat kain yang aku terpijak pagi tadi. 

Benda pertama yang Asikin tegur masa jumpa aku adalah, "comeynyo skirt awok." Aku dah senyum-senyum malu dah. Riak pun ada. Hari tu aku rasa ayu sangat pakai skirt paras betis tu. 

Dah nak senja, aku balik. Jarak rumah Asikin dan rumah aku dekat saja. Sampai saja rumah, abang aku yang nombor 2 tengok aku dengan muka yang pelik. Dia tanya, "kain gapo tu? Tahu dok tu skirt dalam?" 


No comments: